Abstrak
Teknik kumpulan nominal (NGT) digunakan untuk mengenal pasti dan mengutamakan konstruk dan item untuk membangunkan kandungan aplikasi mudah alih untuk meningkatkan pengetahuan, sikap dan amalan dalam kalangan pekerja pasar basah berkenaan leptospirosis. Satu sesi NGT selama 3 jam telah dijalankan dengan menggunakan platform hibrid yang melibatkan tujuh orang pakar (epidemiologi, informatik kesihatan dan kesihatan persekitaran) yang mengutamakan 18 konstruk dan 50 item bagi pembangunan kandungan aplikasi tersebut. Sesi hibrid ini melibatkan lima orang pakar secara bersemuka dan dua orang pakar secara dalam talian melalui platform Google Meet (Google LLC, Mountain View, CA, USA). Proses NGT tersebut terdiri daripada empat langkah berstruktur: (i) pakar secara bebas dan senyap mendokumentasikan respons mereka terhadap soalan rangsangan; (ii) setiap pakar menyumbangkan satu idea apabila ditanyakan soalan dan setiap respons direkodkan; (iii) pakar membincangkan setiap idea untuk menjelaskan maksudnya dan mengenal pasti idea yang paling penting; dan (iv) pakar menyusun keutamaan mereka (pilihan), mengundi setiap idea dan membincangkan pola pengundian. Syor-syor daripada pakar tersebut telah mengenal pasti empat konstruk utama dan 10 item penting yang selaras dengan komponen-komponen dalam model kepercayaan kesihatan (HBM). Konstruk pertama penting untuk mendirikan maklumat asas dan meningkatkan kesedaran tentang leptospirosis serta merangkumi komponen HBM, iaitu keterukan tanggapan dan kerentanan penyakit. Konstruk kedua selaras dengan komponen risiko tanggapan dan efikasi kendiri, dengan memberi tumpuan kepada cara pemindahan langsung dan tidak langsung serta memupuk kesedaran tentang bagaimana tingkah laku rutin boleh meningkatkan risiko jangkitan. Konstruk ketiga menekankan kepentingan penggunaan peralatan perlindungan diri ketika mengendalikan bahan-bahan yang berkemungkinan tercemar. Konstruk keempat menyenaraikan fasiliti kesihatan awam dan swasta serta menjelaskan halangan-halangan tanggapan dengan memudahkan proses mendapatkan khidmat kesihatan. Kajian ini telah mengenal pasti dan mengutamakan kandungan aplikasi mudah alih untuk mencegah leptospirosis berdasarkan pandangan pakar untuk memastikan maklumat yang menyeluruh, relevan dan bersesuaian dengan keperluan pengguna.
Kata Kunci :
Kandungan aplikasi mudah alih; leptospirosis; teknik kumpulan nominal,